GRIEZMANN (kiri) berebut bola dengan pertahanan Chelsea, David Luiz pada aksi persahabatan pramusim di Saitama, malam tadi. — FOTO AFP
AFP

JURULATIH Barcelona, Ernesto Valverde melahirkan keyakinan Antoine Griezmann mampu memukau pada musim sulungnya dengan kelab juara Sepanyol selepas berpindah secara kontroversi dari Atletico Madrid.

Penyerang Perancis itu beraksi 45 minit ketika Barcelona tumpas 1-2 di tangan Chelsea pada aksi persahabatan pramusim di Saitama, Jepun, malam tadi.

Mereka tampil tanpa dua bintang utama Lionel Messi dan Luis Suarez ketika dua pemain itu memulihkan diri daripada keletihan beraksi pada Copa America baru-baru ini.

Bagi Chelsea ia perlawanan keempat mereka ketika pramusim namun bagi Barca, ia yang pertama dan tanpa Messi serta Suarez, jelas ia memberi kesan.

VALVERDE tampak positif dengan aksi pertama Barca di Jepun. — FOTO EPA

“Dia bertindak baik bersama pasukan dan benar apabila dia mendapat bola maka dia mampu mencetus ancaman kepada pasukan lain,” kata Valverde mengenai Griezmann.

“Benar juga dia mempunyai banyak idea ketika menguasai bola dan kami berharap dia akan berterusan begini.

“Tapi ini baru perlawanan pertama dan dia perlu belajar bagaimana Barcelona bermain, gaya kami dan bagaimana kami mendominasi.”

Barcelona berdepan kelab Jepun, Vissel Kobe serta bekas pemain mereka Andres Iniesta dan David Villa pada aksi persahabatan kedua Sabtu ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Julai 2019 @ 1:36 PM