Hadin waspada lawan ditentang pada saingan Piala Malaysia. FOTO NSTP


FELDA United FC yang terselamat daripada tersingkir ke Liga Perdana musim depan memiliki peluang seimbang dalam Kumpulan D pada kempen saingan Piala Malaysia musim ini.

Kapten The Fighters, Hadin Azman berkata, berada dalam undian bersama juara 33 kali Piala Malaysia, Selangor, Melaka dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) memerlukan keazaman tinggi untuk mara ke suku akhir kejuaraan piala berprestij itu.

"Biarpun perlu berdepan Selangor, kami akan memastikan keputusan positif mampu diraih.

"Kejayaan menewaskan Selangor di pusingan ketiga Piala FA musim ini diharap memberi motivasi melakukannya sekali lagi.

"Bagaimanapun, bertemu Melaka memerlukan kami bekerja keras manakala keupayaan PDRM yang beraksi dalam Liga Perdana tidak boleh dipandang mudah.

"Saingan Piala Malaysia sukar diramal dan sudah pasti kejutan dijangka berlaku kerana semua pasukan berpeluang ke peringkat lapan terakhir," katanya.

Ditanya kecederaan hamstring menyebabkan terlepas empat perlawanan terakhir Liga Super, Hadin mengesahkan sudah pulih dan kembali memperkasakan The Fighters.

Katanya, fokus utama adalah mengembalikan tahap kecergasan memandangkan semua pasukan mahu membuktikan kemampuan pasukan.

"Oleh itu, kejayaan mengekalkan FELDA United beraksi di Liga Super akan menjadi penyuntik semangat kepada kami untuk berusaha melangkah lebih jauh," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Julai 2019 @ 2:43 PM