Azlan Muhammad Zain

BERBAKI kira-kira empat bulan, Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA Filipina (PHILSOC) mengumumkan jadual pertandingan temasya yang dijadualkan berlangsung pada November nanti.

Menurut laporan media Filipina, Manila Bulletin saingan membabitkan 56 jenis sukan bermula pada 22 November dengan polo menjadi sukan pertama membuka tirai temasya dwi tahunan itu.

Polo yang mempertandingkan dua emas berlangsung sehingga 8 Disember.

Ia disusuli tiga acara berpasukan lain iaitu bola sepak lelaki, wanita serta bola jaring yang bermula serentak pada 25 November.

Acara sandaran Malaysia meraih emas seperti memanah, boling padang, gimrama, skuasy, badminton dan pencak silat hanya bermula seawal 1 Disember.

Acara pembukaan berlangsung pada 30 Disember di Phillippine Arena, Bulacan manakala upacara penutup dijadual pada 11 Disember.

Terdapat tiga kluster utama pada temasya kali ini iaitu Metro Manila, Clark dan Subic selain beberapa lokasi lain terbabit.

Malaysia selaku juara edisi ke-29 menyertai 51 jenis sukan dipertandingkan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Julai 2019 @ 10:46 PM