RAFIQ Ismail.
RAFIQ Ismail.
Nor Hairulnizam Wahid

ENAM bulan pertama tahun ini tanpa sebarang gelaran pastinya satu penantian menyiksakan apatah lagi selepas menamatkan kemarau 39 tahun negara untuk bergelar juara dunia akhir tahun lalu.

Namun bagi Rafiq Ismail, kejayaan merangkul empat gelaran dalam tempoh sebulan seperti dilakukannya baru-baru ini dilihat bagaikan menebus dendam kemarau kejuaraan sekian lama terpendam.

Bermula dengan menjulang kejohanan Terbuka Singapura pada akhir Jun, disusuli Masters Jelajah Boling Eropah (EBT) Madrid beberapa hari kemudian, sebelum menjuarai Terbuka Hong Kong dan Masters Jelajah Boling Asia di Hong Kong minggu lalu.

Ketika diwawancara sebelum Aidilfitri lalu, Olahragawan Negara 2018 itu pernah meluahkan rasa kurang berpuas hati dengan pencapaian sepanjang beberapa bulan terawal tahun ini. “Saya tidak berapa gembira dengan pencapaian setakat ini. Apa saya sasarkan tidak tercapai tetapi saya menganggapnya sebagai satu cabaran,” katanya ketika itu.

Tidak berputus asa, Rafiq sebaliknya bertekad memperbaiki apa saja kesilapannya untuk dibuktikan dalam kejohanan seterusnya, bermula Terbuka Singapura dan Terbuka Sepanyol. “Bagi saya, boling ini sentiasa berubah dari segi teknologi dan lorong, jadi dalam setiap kejohanan itu saya belajar sesuatu yang baru dan dari situ saya dapat menganalisis apa saja kelemahan untuk saya perbaiki.”

Malah, Julai bukan saja membawa tuah buat Rafiq tetapi juga rakan sepasukan antaranya Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman, Sin Li Jane serta Nur Amirah Auni Azman, selain Ahmad Muaz Fishol dan Tun Hakim Tun Hasnul Azam yang turut menentang Rafiq pada aksi final. Biarpun perlu menentang rakan sendiri dalam pertarungan merebut gelaran, ia langsung tidak mendatangkan kegusaran terhadap Rafiq.

“Bagi saya sama saja seperti menentang pemain lain, saya tenang saja kerana kalau kalah sekali pun, Malaysia masih menang,” katanya merendah diri.

Hakikatnya, pengalaman pahit yang dilalui Rafiq sebelum ini tidak membuatkan Kongres Tenpin Boling Malaysia (MTBC) berputus asa terhadap potensi atlet berusia 22 tahun itu.

“Sentuhannya tidak pernah hilang. Dalam sukan boling bukan sesuatu yang mudah untuk menang setiap masa tidak seperti sukan lain,” kata Setiausaha Agung MTBC, Maradona Chok. “Namun kini keyakinannya begitu tinggi dan ia amat membantu.”

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Julai 2019 @ 11:03 PM