GAYA Ronaldo menyambut jaringan penyamaan Juventus. - FOTO Agensi
AFP

MATTHIJS de Ligt menjaringkan gol sendiri sebelum penjaga gol veteran, Gianluigi Buffon muncul wira Juventus menewaskan Inter Milan 4-3 menerusi penentuan penalti sebentar tadi.

Walaupun hanya aksi persahabatan membabitkan dua musuh tradisi dalam Serie A, perlawanan tetap tegang terutamanya pada babak kedua di Nanjing.

Keputusan 1-1 selepas tamat 90 minit dengan Cristiano Ronaldo menyamakan kedudukan menerusi sepakan percuma selepas jaringan sendiri De Ligt pada minit ke-10.

Ketika penentuan penalti, Buffon yang berusia 41 tahun, dua kali ganda berbanding De Ligt kembali mencipta kejayaan bersama juara Serie A itu selepas setahun bersama Paris Saint-Germain.

Pemain remaja Belanda, De Ligt yang menyertai Juventus minggu lalu dari Ajax dengan nilai 75 juta euro (RM345 juta) masuk sebagai pemain gantian ketika tewas 2-3 kepada Tottenham Hotspur di Singapura, Ahad lalu.

Jurulatih baharu Juventus, Maurizio Sarri menurunkan pemain berusia 19 tahun itu dalam kesebelasan utama aksi ‘Derby d'Italia’ tetapi pertahanan tengah itu menghadiahkan Inter jaringan sendiri selepas bola terkena lututnya yang terus menerjah gawang tanpa dapat diselamatkan penjaga gol, Wojciech Szczesny.

De Ligt kemudiannya digantikan pada babak kedua.

Walaupun hanya jelajah pramusim, skuad Antonio Conte kerap melakukan kekasaran ke atas Ronaldo yang tiga kali dijatuhkan pada babak pertama.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Julai 2019 @ 11:46 PM