ORIGI (kanan) mengatasi pertahanan Dortmund, Mats Hummels pada aksi persahabatan minggu lalu. — FOTO Twitter Borussia Dortmund
ORIGI (kanan) mengatasi pertahanan Dortmund, Mats Hummels pada aksi persahabatan minggu lalu. — FOTO Twitter Borussia Dortmund
Agensi

DIVOCK Origi mendedahkan satu “perasaan dalaman” memujuknya untuk kekal di Liverpool dan penyerang itu sedia meneruskan rentak gol kemenangan Liga Juara-Juara yang mengubah kehidupannya.

Pemain berusia 24 tahun itu tidak memulakan aksi liga musim lalu sebelum Disember dan hampir meninggalkan kelab itu pada Januari lalu.

Namun kini - susulan gol menentang Barcelona dan Tottenham yang membantu Liverpool merangkul Piala Eropah keenam - dia sudah menandatangani kontrak baharu jangka panjang.

Penyerang utama Sadio Mane, Mohamed Salah dan Roberto Firmino semuanya terlepas kunjungan pramusim Liverpool ke Amerika Syarikat susulan tugasan bersama pasukan kebangsaan.

Mane dijangka hanya kembali ke kelab itu selepas aksi Perisai Komuniti pada 4 Ogos ini.

“Banyak yang berlaku sepanjang setahun,” kata Origi. “Hakikatnya itulah keindahan bola sepak.

“Memenangi Liga Juara-Juara satu impian masa kecil jadi ia banyak mengubah perjalanan karier seorang pemain. Saya menamatkan musim lalu dengan amat bagus dan sekali lagi dalam latihan saya berasa bagus. Terpulang kepada saya untuk mempamerkannnya di padang.”

Origi menghabiskan musim 2017-18 beraksi secara pinjaman di Wolfsburg dan dikaitkan dengan perpindahan ke Huddersfield dan Wolves ketika babak pertama musim lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Julai 2019 @ 10:24 AM