PERTAHANAN Liverpool, Joel Matip (tengah) menanduk bola keluar dari kawasan bahaya ketika menentang Sporting di Stadium Yankee, pagi ini. — FOTO AFP
AFP

LIVERPOOL melengkapkan jelajah Amerika Syarikat apabila seri 2-2 dengan Sporting Lisbon pagi ini ketika kelab Liga Perdana Inggeris itu gagal menang dalam kunjungan pertama ke luar negara sejak dinobat juara Eropah.

Liverpool menamatkan kempen jelajah AS tanpa sebarang kemenangan dalam tiga aksi namun berjaya meraih keputusan seri menentang juara Portugal di Stadium Yankee, New York.

Marcus Wendel menyamakan kedudukan 2-2 pada minit ke-53 dengan rembatan kaki kanan dari tengah kotak penalti ke penjuru kanan gol selepas mendapat umpanan bintang tengah Bruno Fernandes.

Fernandes dan Wendel turut bergandingan bagi gol pertama perlawanan pada minit keempat buat juara Portugal 18 kali itu.


WIJNALDUM (kiri) menjaringkan gol kedua Liverpool. — FOTO AFP

Rembatan kaki kanan Fernandes dari jarak jauh kelihatan tidak begitu berbahaya namun penjaga gol Simon Mignolet gagal menangkap dengan kemas sebelum bola melantun masuk ke dalam gol.

Divock Origi (m-20) dan Georginio Wijnaldum (m-44) menjaringkan gol buat Reds yang bermain semua tiga perlawanan persahabatan di gelanggang ikon sukan AS.

Anak buah Juergen Klopp terlepas khidmat beberapa pemain utama mereka termasuk penyerang Roberto Firmino, Mohamed Salah dan Sadio Mane, yang berehat selepas menyertai Copa America dan Piala Negara Afrika. Penjaga gol Alisson memutuskan tidak menyertai jelajah itu.

Liverpool hadir pada perlawanan itu selepas kalah dua aksi pertama. Mereka tumpas 1-2 di tangan kelab Sepanyol, Sevilla di Fenway Park, Boston, Ahad lalu selepas tewas 2-3 kepada kelab Jerman, Borussia Dortmund di Stadium Notre Dame, Jumaat lalu.

Liverpool kini akan pulang ke Merseyside sebelum berdepan Napoli di Edinburgh hujung minggu ini dan kemudian menjalani kem latihan di Evian, Perancis.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Julai 2019 @ 12:12 PM