CEBALLOS gembira sertai Gunners. - FOTO Agensi
AFP

ARSENAL menandatangani pemain tengah Real Madrid, Dani Ceballos secara pinjaman jangka panjang, menurut jurucakap kelab hari ini.

Pemain berusia 22 tahun itu tampil dalam 23 aksi La Liga musim 2018/19 dan membantu skuad B-21 Sepanyol menjuarai kejohanan Eropah bulan lalu .

"Kami sangat gembira dengan kedatangan Dani,” kata Emery. "Dia pemain berbakat dengan kemampuan teknikal sangat baik, kreatif dan kualiti hantaran tepat.”

Ceballos dilaporkan turut mempunyai pilihan lain termasuk dari kelab Liga Perdana tetapi faktor Emery mempengaruhi keputusannya.

"Jurulatih menjadi faktor saya menyertai kelab hebat ini,” kata Ceballos dalam laman web Arsenal.

"Dia jurulatih Sepanyol dan kenal saya ketika beraksi di kelab lain. Saya sangat gembira untuk membantu Arsenal mencapai sasaran mereka.”

Ceballos pemain kedua ditandatangani Arsenal pada musim panas ini selepas Gabriel Martinelli yang berusia 18 tahun dari Ituano di Brazil.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Julai 2019 @ 12:03 AM