PEMAIN bersama pengurusan Persatuan Bola Sepak Perak dan orang ramai membaca yasin pada Majlis Bacaan Yasin dan Solat Hajat sempena perlawanan akhir Piala FA di Masjid Sultan Idris Shah II . FOTO/EFFENDY RASHID
Syazwan Msar


STATUS sebagai pemain kebangsaan, namun tidak pernah sekali pun beraksi di pentas final menyebabkan Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi tekad memberikan persembahan terbaik jika diturunkan pada perlawanan akhir Piala FA di Stadium Nasional Bukit Jalil, esok.

Pemain yang meledak gol ketika bertemu Timor Leste pada aksi kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 sebelum ini mahu kemasukannya sebagai pemain gantian memberi impak besar seterusnya memastikan kemenangan berpihak kepada Perak.

Bekas pemain PKNP itu bekata, statusnya sebagai ‘super-sub’ tidak memberi tekanan, namun tumpuan sekarang ini adalah memastikan dapat memberikan persembahan terbaik dan meledak gol walaupun dimasukkan pada minit terakhir perlawanan.

“Sudah semestinya ini adalah pentas akhir pertama sepanjang bergelar pemain profesional, sekali gus perlu menunjukkan prestasi terbaik apabila beraksi di hadapan puluhan ribu penonton.

“Mungkin agak kecewa jika tidak diturunkan, namun jurulatih ada perancangannya dan terpulang padanya jika menganggap saya sebagai senjata rahsia skuad Seladang,” katanya ketika ditemui Arena Metro, semalam.

Shahrel Fikri berkata, dia mengetahui bebanan yang harus dipikul pemain yang dianggap sebagai ‘super-sub’ iaitu mampu mengubah keputusan perlawanan atau berperanan mengekalkan kemenangan untuk pasukan.

“Saya tidak kisah dimasukkan pada minit terakhir perlawanan atau lebih awal kerana jika diarahkan berbuat demikian sudah pasti jurulatih mahukan sesuatu perubahan.

“Saya tidak menganggap sebagai senjata rahsia kepada pasukan cuma pada pentas final ini perlu melakukan terbaik kerana harapan tinggi diletakkan untuk memastikan kejuaraan milik Perak,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Julai 2019 @ 6:01 AM