KOLASINAC (kiri) dan Ozil terselamat daripada cubaan merompak. — FOTO Agensi
Reuters

MESUT Ozil dan rakan sepasukan Arsenal, Sead Kolasinac tidak mengalami kecederaan selepas satu cubaan merompak kereta mereka gagal di utara London awal pagi tadi, lapor media Britain.

Laman web Daily Mail melaporkan bekas pemain tengah kebangsaan Jerman, Ozil memandu kereta Mercedes hitamnya apabila kereta itu dihadang oleh penunggang motosikal yang memakai topi keledar.

Satu klip video berserta cerita itu menunjukkan pertahanan Bosnia, Kolasinac, yang menjadi penumpang, keluar dari kenderaan itu dan bertarung dengan penyerang yang mengacu pisau.

Ozil dilihat dalam gambar itu bercakap dengan polis di luar sebuah restoran Turki. Akhbar itu melaporkan pelayan dan chef tampil untuk membantu pemain itu.

Polis menyatakan mereka menerima panggilan selepas jam 5 petang waktu tempatan susulan laporan satu cubaan merompak.

“Dilaporkan suspek menunggang motosikal cuba merompak lelaki yang memandu sebuah kereta,” menurut seorang jurucakap.

“Pemandu bersama penumpangnya berjaya melepaskan diri tanpa dicederakan dan menuju ke restoran di Golders Green, yang mana mereka bercakap dengan polis. Belum ada sebarang tangkapan. Siasatan diteruskan.”

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Julai 2019 @ 10:36 AM