SANTILLAN peninju kedua meninggal dunia dalam tempoh seminggu. — FOTO Agensi
AFP

PENINJU Argentina, Hugo Santillan meninggal dunia semalam selepas mengalami kecederaan pada perlawanan Sabtu lalu, kematian kedua hanya dalam tempoh dua hari selepas peninju Russia, Maxim Dadashev di Amerika Syarikat.

Santillan, 23, tumbang ketika keputusan 10-0 diumumkan pada perlawanan menentang peninju Uruguay, Eduardo Abreu di San Nicolas, utara Buenos Aires.

Peninju itu kemudian dibawa ke hospital dan menjalani pembedahan bagi mengurangkan bengkak di otaknya yang menyebabkan trauma di kepala, menurut sumber hospital.

Dia kemudian disahkan meninggal dunia disebabkan serangan jantung.

Selasa lalu, Dadashev meninggal dunia disebabkan kecederaan otak ketika pertarungan menentang Subriel Matias dari Puerto Rico pada Jumaat di Maryland. Dia berusia 28 tahun.

Tidak ada sebarang kesilapan berlaku ketika perlawanan antara Santillan dan Abreu tetapi ketika menunggu keputusan diumumkan, dia tumbang dan pengsan.

Dia bertanding bagi merebut gelaran lightweight Majlis Tinju Dunia (WBC) dimiliki Abreu.

“Kami bersama-sama keluarga dan rakan Hugo sedih dengan kehilangan ini,” menurut WBC dalam akaun Twitter.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Julai 2019 @ 12:58 PM