VETTEL memandu jenteranya di Hockenheim, hari ini. - FOTO Reuters
Reuters

PELUMBA Ferrari, Sebastian Vettel mencatat masa terpantas sesi latihan pembukaan Grand Prix Jerman dengan rakan sepasukan Charles Leclerc melengkapkan kedudukan satu dua.

Juara dunia empat kali itu menamatkan pusingan sejauh 4.5km di Litar Hockenheim yang terletak hanya setengah jam dari kampung halamannya di Heppenheim dengan catatan satu minit 14.013 saat.

Pelumba Jerman itu yang terbabit nahas ketika mendahului pada perlumbaan terakhir tahun lalu mencatat 0.255 saat lebih pantas berbanding Monegasque.

Pendahulu Championship, Lewis Hamilton di kedudukan ketiga dengan 0.302 saat di belakang Vettel.

Pelumba Britain itu yang mendahului rakan sepasukan, Valtteri Bottas dengan 39 mata memenangi tujuh daripada 10 perlumbaan setakat ini dan bimbang dengan cuaca panas di Eropah yang mampu menjejaskan misi kemenangannnya pada Ahad ini.

Suhu di litar mencecah 40 darjah celcius dengan purata suhu sekitar pertengahan 30 darjah celcius.

Bottas di tempat kelima dengan pelumba Red Bulls, Max Verstappen tempat keempat dan Pierre Gasly keenam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Julai 2019 @ 10:36 PM