GARETH Bale.
AFP

PENYERANG Real Madrid Gareth Bale semakin hampir untuk menandatangani kontrak bernilai ‘£1 juta (RM5.1 juta) seminggu dengan kelab Liga Super China Jiangsu Suning, menurut laporan akhbar.

Pemain Wales berusia 30 tahun itu sudah pun diberitahu jurulatih Real Zinedine Zidane bahawa dia bukan sebahagian daripada perancangan masa depannya di kelab gergasi Sepanyol itu.

Akhbar Sepanyol, Marca mendakwa bahawa Bale yang meninggalkan Tottenham untuk menyertai Real pada 2013 akan menerima gaji 22 juta euro (RM101 juta) setiap musim di China dan perjanjian itu hampir dimetrai.

Bagaimanapun laporan Sky Sports di England selepas itu membayangkan wakil pemain itu sedang merundingkan kontrak bernilai £1 juta seminggu sebelum jendela perpindahan China tamat pada Rabu.

Pengendali Real Zidane berkata hujung minggu lalu ia keputusan ‘terbaik untuk semua’ jika perpindahan Bale boleh diuruskan secepat mungkin -satu komen yang dianggap ejen Bale sebagai ‘kurang ajar’ terhadap pemain yang membantu pasukan menjulang gelaran liga Sepanyol dan empat gelaran Liga Juara-Juara sejak tiba dari Tottenham enam tahun lalu.

Zidane kemudiannya menegaskan pada Isnin dia tidak berniat untuk tidak menghormati Bale sebelum menurunkan pemain itu sebagai gantian dalam aksi persahabatan yang menyaksikan mereka menewaskan Arsenal 3-2 di Amerika Syarikat.

“Dia mempunyai permainan yang baik dan saya gembira dengannya,” kata Zidane.

“Saya tidak tahu apa akan berlaku, ketika ini dia bersama kami. Ia tidak akan mengubah apa-apa.”

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Julai 2019 @ 8:30 AM