DANI Ceballos
Agensi

PENGENDALI Real Madrid Zinedine Zidane sedia membuka pintu untuk Dani Ceballos kembali ke kelab itu musim panas ini selepas perpindahannya ke Arsenal secara pinjaman.

Pemain Sepanyol itu menandatangani kontrak setahun dengan Gunners minggu ini tetapi kontrak itu tidak termasuk pilihan untuk membelinya.

Pemain berusia 22 tahun itu adalah antara pemain tengah paling dikagumi di Eropah dan Madrid meletakkan nilai £45 juta (RM229.4 juta), lebih senang untuk meminjamkannya berbanding menjual pemain itu musim panas ini.

Madrid enggan meletak syarat pilihan untuk membelinya dalam kontrak itu tetapi Gunners dijangka mahu mengusahakan perpindahan secara kekal sekiranya pemain tengah itu cemerlang di utara London.

Laporan di Sepanyol mendakawa Ceballos bertelagah dengan Zidane tetapi pengendali dari Perancis itu menafikan khabar angin itu dan membayangkan pemain tengah itu akan kembali musim depan kerana dia anggota ‘penting’ skuad itu.

“Tidak, bukannya saya tidak serasi dengan Ceballos,” kata Zidane.

“Saya fikir Dani perlu banyak bermain kerana dia pemain yang penting.

“Memang benar di Madrid dia tidak banyak ruang bermain, itu saja. Terdapat ramai pemain di sini, banyak kejohanan.

“Saya doakan dia dapat bermain dalam banyak perlawanan dan beraksi cemerlang.”

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Julai 2019 @ 1:24 PM