Rifdean (kanan) meneruskan aksi cemerlangnya ke final. FOTO IHSAN BERNARD RADIN
Mohd Hafizee Mohd Arop


PENINJU Muay Thai Perak, Mohammad Rifdean Masdor meneruskan aksi cemerlangnya apabila melangkah ke perlawanan akhir Kejohanan Muay Thai Dunia di Bangkok selepas menewaskan peninju Vietnam, hari ini.

Mohammad Rifdean,17, berjaya menewaskan Khai Van Kuat pada aksi separuh akhir kategori 48 kilogram (kg) sebentar tadi dengan kiraan mata 29-28 sebelum mengesahkan tempat ke perlawanan akhir menentang peninju tuan rumah, Naruephon Chittra, esok.

Ketua Jurulatih Muay Thai Perak, Bernard Radin ketika dihubungi berkata, Mohammad Rifdean mempamerkan aksi cemerlang pada perlawanan separuh akhir walaupun lawannya lebih tinggi berbandingnya.

"Seperti yang kita tahu, Rifdean sepatutnya bertanding kategori 45 kg tetapi kategori itu tiada, dia terpaksa lompat kategori dan bertanding dalam kategori 48 kg, saya bangga dengan prestasi ditunjukkannya hari ini.

"Walaupun lawan lebih tinggi, Rifdean mengikut segala arahan diberikan dengan mempamerkan corak serangan dan bertahan dengan baik sebelum berjaya memenangi peringkat separuh akhir," katanya.

Ditanya mengenai perlawanan menentang peninju tuan rumah esok, Bernard berkata, peluang untuk memenangi perlawanan itu 50-50 dan berharap Rifdean dapat menunjukkan segala kemahiran dimilikinya.

"Ketika ini apa yang menggembirakan kem kita adalah Rifdean tidak mengalami sebarang kecederaan dan tahap kecergasannya juga adalah terbaik untuk perlawanan esok.

"Cuma apa yang dia akan pamerkan esok menjadi penentu sama ada dia dapat memenangi pingat emas atau tidak, apa pun saya yakin Rifdean dapat melakukannya," katanya.

seorang lagi wakil Perak, Mohamad Azeem Ismail terkandas di suku akhir kategori 63.5 kg kelmarin apabila tewas dengan kiraan mata kepada peninju Belgium.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Julai 2019 @ 5:35 PM