Rifdean (kiri) tewas tipis kepada lawan Thailand. FOTO BERNAMA
Mohd Hafizee Mohd Arop


PENINJU Muay Thai Perak, Mohammad Rifdean Masdor terpaksa berpuas hati dengan pingat perak selepas tewas kepada peninju tuan rumah pada perlawanan akhir kategori 48 kilogram (kg) di Kejohanan Muay Thai Dunia di Bangkok, hari ini.

Bagaimanapun, Mohammad Rifdean, 17 mempamerkan aksi terbaiknya dalam perlawanan itu sebelum tewas 28-29 kepada Naruephon Chitra yang memiliki saiz lebih tinggi berbandingnya.

Ketua Jurulatih Muay Thai Perak, Bernard Radin ketika dihubungi berkata, Mohammad Rifdean mempamerkan aksi bertaraf dunia dalam perlawanan itu dan selaku jurulatih beliau berpuas hati dengan persembahan dipamerkan anak didiknya.

"Rifdean mempamerkan permainan terbaik dalam perlawanan itu dan bagi saya kekalahannya bukan disebabkan peninju Thailand itu memiliki kemahiran lebih baik berbandingnya tetapi disebabkan saiz dan kekuatan.

"Apa pun saya bangga dengan Rifdean kerana dapat membawa pulang pingat perak, seperti kita tahu, dia terpaksa melompat kategori berbanding berat sebenarnya iaitu 45 kg namun dia buktikan yang dia mampu," katanya.

Bernard berkata, walaupun gagal membawa pulang pingat emas namun persembahan terbaik dipamerkan anak didiknya itu sudah cukup mengembirakannya dan yakin peninju itu mampu bersaing di peringkat lebih jauh.

Katanya, Mohammad Rifdean bukannya tewas mudah sebaliknya memberikan saingan sengit sehingga memaksa peninju tuan rumah yang beraksi di hadapan penonton sendiri terpaksa berhempas pulas.

Berdasarkan rekod, Mohammad Rifdean layak ke perlawanan akhir selepas menumpaskan peninju Emiriah Arab Bersatu (UAE) sebelum menewaskan peninju Vietnam pada peringkat separuh akhir.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Julai 2019 @ 6:00 PM