SKUAD bola jaring negara optimis pertahan emas Sukan SEA. FOTO Aizuddin Saad
Azlan Muhammad Zain


SKUAD bola jaring negara meneruskan rutin menjadikan aksi menentang lelaki sebagai salah satu strategi mempertahankan emas Sukan SEA di Filipina nanti.

Aksi menentang lelaki dilihat mampu membantu skuad negara memenangi emas di Kuala Lumpur dua tahun lalu selepas menewaskan musuh tradisi, Singapura di pentas final.

“Selepas pulang dari Jelajah Sri Lanka pada April lalu, setiap minggu kita akan menentang pasukan bola jaring lelaki. Kami yakin ia dapat membantu pemain meningkatkan permainan,” jelas Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Jaring Malaysia (PBJM), Zainon Md Noh.

Anak buah Stacey Robinson dilihat berada di landasan terbaik selepas menjuarai Kejohanan Bola Jaring Empat Negara di Hong Kong pada Mac selain pencapaian membanggakan di Sri Lanka.

Bagaimanapun, beliau mengaku berdepan kesukaran untuk mengatur perlawanan dan kejohanan antarabangsa ketika berbaki beberapa bulan untuk ke Filipina, November nanti.

“Kami merancang untuk mengadakan kejohanan pada bulan depan dengan menjemput sekurang-kurangnya lapan pasukan handalan dunia seperti Ireland namun tidak kesampaian.

“Bagaimanapun, mereka akan ke Australia pada September untuk menjalani latihan dan kami akan menjalankan aksi persahabatan di sana,” tambahnya.

Bola jaring yang dijadualkan berlangsung di Kompleks Sukan Santa Rosa, Laguna akan memulakan saingan pada 25 November sehingga 2 Disember.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Julai 2019 @ 6:30 AM