AKSI Younes menjaringkan gol ketiga Liverpool. - FOTO Reuters
AFP

LIVERPOOL dimalukan Napoli 0-3 dalam aksi persahabatan pramusim di Edinburgh, seminggu sebelum mereka menentang Manchester City dalam aksi Perisai Komuniti di Wembley.

Juara Eropah itu masih lagi belum menang dalam empat aksi persahabatan sebelum ini, tewas kepada Borussia Dortmund dan Sevilla, seri dengan Sporting Lisbon sebelum tewas di Murrayfield, awal pagi tadi.

Lorenzo Insigne, Arkadiusz Milik dan Amin Younes menjaringkan gol di hadapan 65,000 penonton dengan pengurus Liverpool, Jurgen Klopp menggunakan 21 pemain keseluruhannya.

Insigne membuka tirai jaringan menerusi rembatan lencong pada minit ke-17 dan skuad Carlo

Ancelotti melebarkan kedudukan pada minit ke-28 selepas Milik menyudahkan hantaran Insigne untuk mendahului 2-0 sebelum rehat.

GAYA Insigne meraikan gol pertama Napoli. - FOTO Reuters

Liverpool kembali bertenaga pada permulaan babak kedua namun Napoli yang berjaya menambah gol tujuh minit selepas itu.

Rembatan Insigne ditampan penjaga gol Liverpool, Simon Mignolet namun terkena pertahanan sendiri dan bola muntah pantas ditolak masuk oleh Younes.

Klopp melakukan 10 pertukaran pada babak kedua termasuk menyenaraikan kali pertama pemain berusia 16 tahun Harvey Elliott selepas pengumuman menandatanganinya beberapa jam sebelum perlawanan.

Pemain remaja itu menjadi pemain termuda dalam beraksi dalam Liga Perdana apabila dia beraksi bersama Fulham menentang Wolves pada Mei lalu pada usia 16 tahun 30 hari.

Liverpool naib juara musim lalu akan menentang juara Liga Perdana, Manchester City di Wembley dalam aksi Perisai Komuniti, perlawanan tradisi pembuka tirai musim Inggeris.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Julai 2019 @ 7:14 AM