HADIN (kanan) tersisih dalam empat aksi terakhir Liga Super.


KAPTEN FELDA United FC, Hadin Azman yang terlepas empat perlawanan terakhir Liga Super sedia kembali menggalas tugas bagi mengharungi saingan Piala Malaysia bermula Sabtu ini. Pemain kelahiran Kuala Lumpur itu berkata, kecederaan hamstring dialami juga sudah pulih sepenuhnya.

"Saya kini memberi tumpuan pada tahap kecergasan untuk bersama rakan sepasukan berdepan cabaran lebih besar di Piala Malaysia musim ini.

"Segalanya diharap menjadi buat The Fighters selepas berjaya kekal beraksi dalam Liga Super musim depan. Pada masa sama, kejayaan mara ke separuh akhir Piala FA musim ini juga sebagai motivasi terbaik untuk melakukan perkara sama di Piala Malaysia," katanya.

Hadin berkata, kejutan yang sering berlaku dalam saingan Piala Malaysia juga diharap memihak kepada The Fighters.

Katanya, prestasi dan corak permainan yang semakin menunjukkan peningkatan juga diyakini mampu diterjemahkan dengan keputusan positif.

"Kami mengharapkan jentera serangan semakin berbisa seperti dipersembahkan ketika menewaskan Kedah 5-1 pada aksi terakhir Liga Super," katanya.

Dalam saingan Piala Malaysia, FELDA United diundi bersama juara 33 kali Piala Malaysia, Selangor, Melaka United dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Julai 2019 @ 12:48 PM