Irfan (kanan) mahu pengadil belajar daripada Okabe mengendali perlawanan tanpa kontroversi. FOTO NSTP
Irfan (kanan) mahu pengadil belajar daripada Okabe mengendali perlawanan tanpa kontroversi. FOTO NSTP
Malik Muhamad


JURULATIH berpengalaman, Irfan Bakti Abu Salim menuntut pengadil tempatan mengendalikan saingan Piala Malaysia mampu melaksanakan tugas dengan berkesan tanpa sebarang insiden 'panas'.

Beliau berkata sebagai mengulas mutu pengadilan pengadil dari Jepun yang mendapat reaksi positif penggiat sukan bola sepak tanah air selepas Kedah menewaskan Perak pada final Piala FA di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur, kelmarin.

Pengadil import dari Jepun, Takuto Okabe dan rakan senegaranya, Akane Yagi serta Osamu Nomura berjaya mengadili perlawanan dengan baik tanpa sebarang insiden panas sepanjang aksi itu.

Bekas pengendali Terengganu FC (TFC) itu mengharapkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), menyenaraikan hanya pengadil yang berkualiti dan bukannya pengadil 'eksperimen'.

Beliau membawa TFC muncul naib juara Piala Malaysia musim lalu mengharapkan insiden berlaku pada aksi final itu tidak berulang lagi.

"FAM perlu menyenaraikan pengadil benar-benar berkualiti dan tidak ada rekod buruk dalam Liga Malaysia (Liga M) bagi memastikan prestij saingan Piala Malaysia itu terus terbilang.

"Saya menggesa FAM tidak menyenaraikan pengadil sekadar untuk dijadikan eksperimen.

Ini kerana kesannya cukup besar bukan hanya kepada pemain dan pihak pengurusan yang mungkin tertekan malah juga kepada peminat setia pasukan masing-masing akan teraniaya.

"Saya percaya pengadil berkualiti dan bagus dalam saingan Liga M pun ada, oleh itu jangan sesekali menyenaraikan pengadil bersikap lewa bagi mengelak insiden tidak diingini berlaku," kata Irfan.

Kemampuan trio pengadil dari Jepun itu yang berjaya melaksanakan tugas dengan berkesan dan tenang boleh dijadikan panduan kepada pengadil tempatan bagi meningkatkan kualiti ketika mengadili sesuatu perlawanan.

Tambah Irfan, pengadil bakal menjalankan tugas pada saingan bermula pada 2 Ogos ini perlu lebih bijak mengawal perlawanan dan usah sesekali mengikut emosi ketika membuat sesuatu keputusan.

"Jika mutu pengadilan meningkat, saya percaya kualiti permainan pasti menarik, peminat pun pasti tidak kecewa dan ramai yang akan berkunjung ke stadium, tapi jika berlaku sebaliknya, ia memberi impak yang tidak bagus kepada semua," ujar Irfan yang berkeyakinan pengadil tempatan juga ada wibawanya untuk mengadili saingan piala itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Julai 2019 @ 5:58 PM