RONALDO bersama anugerah Legenda MARCA. - FOTO Reuters
Agensi

“ANUGERAH ini saya peroleh di atas apa yang saya lakukan di Madrid. Ia trofi Sepanyol dan saya berasa amat dihormati. Terima kasih kepada semua yang membantu saya mencapainya. Ia satu kebanggaan kepada saya. Saya berharap untuk pulang ke Madrid tidak lama lagi,” menurut penyerang Juventus, Cristiano Ronaldo ketika menerima Anugerah Legenda MARCA di Madrid, semalam.

Pencapaian hebat superstar Portugal itu diiktiraf penerbitan Sepanyol menerusi kejayaan gemilang dalam bola sepak dan rekod cemerlang bersama Real Madrid.

Ronaldo menyertai Michael Jordan, Pele, Rafa Nadal, Novak Djokovic, Muhammad Ali, Usian Bolt, Michael Phelps, Michael Schumacher dan Diego Maradona selain Lionel Messi yang turut menerima anugerah itu pada 2009.

Bintang sensasi Portugal itu menghabiskan sedekad karier bersama Real dan memenangi empat daripada lima anugerah Ballons d’Or dan menjulang empat trofi Liga Juara-Juara, dua gelaran La Liga dan Piala Raja Sepanyol bersama kelab gergasi Sepanyol itu.

Bersama Real, Ronaldo turut meledak 450 gol sepanjang 438 penampilan sebelum berpindah ke Juventus, musim panas lalu bagi memburu cabaran baharu.

Begitupun ketika menerima anugerah berkenaan, bekas pemain Manchester United itu mengakui dia merindui ibu negara Sepanyol itu dan merasa sedih meninggalkan Los Blancos.

“Saya rasa bersalah meninggalkan Real Madrid. Saya merindui kedua-duanya (Manchester dan Madrid) tetapi disebabkan saya tinggal lebih lama di Madrid, anak saya dan teman wanita lahir di sini, jadi saya lebih merindui Madrid.”

Ronaldo dalam pada itu turut berkongsi impiannya sejak kecil selain menyuarakan impian untuk menjulang trofi Liga Juara-Juara bersama Juventus.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Julai 2019 @ 11:43 AM