Agensi

SELEPAS menunggu empat tahun untuk meraih trofi pertamanya sebagai pengurus Liverpool, Jurgen Klopp berpeluang menambah trofi kedua lebih awal.

Liverpool mengharungi pramusim yang sukar dan Klopp mahu menyuntik semangat baharu kepada skuadnya apabila menentang Manchester City dalam aksi Perisai Komuniti pada Ahad ini.

Pengendali dari Jerman itu menganggap Perisai Komuniti sebagai trofi utama - salah satu daripada tujuh kejuaraan yang menjadi buruan Liverpool tahun ini dan beliau memandang serius piala itu.

“Ia adalah final. Kali pertama saya menyedari tiada siapa mengambil serius Perisai Komuniti. Menganggapnya sekadar aksi pembuka tirai sukar dipercayai.

“Bagi saya, ia tiada kaitan dengan sepanjang musim. Ia adalah perlawanan malah jika saya ada lapan pemain sekalipun saya akan cuba memenanginya.

“Jika kami menang, sudah bagus. Adakah ia mempengaruhi musim ini? Saya fikir tidak. Jika kalah, ia tidak bagus tetapi tetap tidak akan menjejaskan musim kami.”

Klopp gembira dengan kehadiran semula bintang mereka bagi sesi latihan di Evian dan mereka akan menentang Lyon awal pagi Khamis ini di Geneva.

Persediaan mereka menghadapi musim baru terjejas tanpa trio penyerang - Mo Salah, Roberto Firmino dan Sadio Mane selain penjaga gol, Alisson susulan komitmen antarabangsa.

Kecederaan menimpa Naby Keita dan Xherdan Shaqiri menyukarkan lagi Klopp membuat pilihan yang menyaksikan mereka tewas tiga daripada empat aksi pramusim setakat ini.

Mane yang masih lagi berehat selepas tamat kempen Piala Negara Afrika tidak akan beraksi di Wembley dan Klopp dijangka menurunkan sama ada Firmino atau Salah manakala Shaqiri dan Keita mungkin direhatkan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Julai 2019 @ 12:54 PM