AKSI pemain FELDA United, S Chanthuru ketika cuba disekat pemain Pahang, Zubir Azmi dalam aksi Liga Super 2019 di Stadium Darul Makmur.


PEMAIN tengah FELDA United FC, Christie Jayaseelan mengharapkan kelab itu memiliki ‘tuah’ dalam saingan Piala Malaysia musim ini.

Bekas pemain kebangsaan itu berkata, pencapaian mara ke separuh akhir Piala FA dan kekal beraksi di Liga Super menjadi tonik terbaik untuk melakar kejayaan bermakna pada saingan piala berprestij itu.

"Sudah pasti kami mengharapkan tuah dan pencapaian lebih baik selepas mengharungi cabaran getir di Liga Super dan Piala FA musim ini.

"Dapat beraksi di pentas Piala Malaysia memberi inspirasi terbaik untuk bermain lebih baik memandangkan semua pasukan berpeluang menjulang piala berprestij itu.

"Justeru, kami perlu lebih berusaha untuk mempamer prestasi bertenaga dan memiliki semangat juang tinggi," katanya.

Musim lalu, The Fighters mara ke saingan suku akhir sebelum misi seterusnya disekat Terengganu TF (TFC).

Dalam saingan Piala Malaysia musim ini, FELDA United diundi bersama juara 33 kali Piala Malaysia, Selangor, Melaka United dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ditanya perlawanan pertama peringkat kumpulan bertemu Red Giants Sabtu ini, Christie mengharapkan kemenangan memihak kepada kelab itu.

Katanya, kemenangan pertama akan memberi lebih keyakinan untuk tampil lebih cemerlang pada perlawanan berikutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Julai 2019 @ 2:02 PM