PEMAIN Melaka, Nazrin Nawi (tengah) cuba melepasi kawalan dua pemain SAMB di Stadium Hang Tuah. - FOTO Nazri Abu Bakar
Nazri Abu Bakar


KEMENANGAN 4-0 mengatasi SAMB FC pada aksi persahabatan di Stadium Hang Tuah, malam tadi petanda positif buat Melaka United berdepan PDRM pada aksi pembukaan Piala Malaysia, Ahad ini.

Penolong pengurus Melaka, Yuhaizad Abdullah berkata, aksi pemanas badan terbabit amat penting dalam mengekalkan momentum pasukan selepas aksi terakhir Liga Super, dua minggu lalu.

Katanya, persembahan menyakinkan terbabit diharap mampu diulangi dengan cemerlang ketika berdepan The Cops di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput dalam misi mengumpul mata maksimum.

'Walaupun sekadar aksi persahabatan namun ia usaha terbaik meningkatkan persefahaman pemain berikutan tempoh perlawanan semakin hampir selepas aksi terakhir berdepan Pahang.

“Sehubungan itu, kami mengharapkan pemain yang bakal turun berdepan PDRM mampu memberikan yang terbaik untuk meloloskan diri daripada kumpulan D ke suku akhir,” katanya.

Lebih menarik ketua jurulatih, Zainal Abidin Hassan turut menurunkan beberapa pemain simpanan termasuk Ramzi Haziq, Devan Raj dan Faizal Abu Bakar dalam perlawanan terbabit.

Yuhaizad berkata, barisan pemain kedua jelas turut penting dalam menggalas tugasan kesebelasan pertama selain strategi jurulatih untuk mengubah corak permainan pada penghujung babak permainan.

Gol-gol Melaka menerusi bekas penyerang Johor Darul Ta'zim (JDT) Nazrin Nawi serta Luka Milunovic, Davy Angan dan Devan Raj.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Julai 2019 @ 2:13 PM