Khairul (kanan) sedia untuk berdepan Selangor. FOTO MPFL
Saiful Affendy Sapran


KETUA pasukan Pahang Rangers, Khairul Effendy Bahrin berpendapat keputusan yang bakal dilakar dalam aksi menentang pendahulu, Selangor di Kompleks Sukan Panasonic, Shah Alam, hari ini akan memberi gambaran awal mengenai hala tuju kejuaraan Liga Futsal Premier Malaysia (MPFL) 2019.

Pemain yang mesra disapa Ayon itu berkata, perlawanan penting itu perlu dihadapi seperti sebuah perlawanan akhir dan setiap pemain perlu memberikan segalanya lebih daripada biasa untuk meraih kemenangan.

"Ia adalah perlawanan yang dinanti-nantikan dan akan menjadi satu perlawanan yang menarik. Kedua-dua pasukan berada pada prestasi terbaik dan masing-masing ada misi mahu dicapai.

"Selangor mahu mempertahankan kedudukan di tangga teratas manakala kami pula mahu memintas mereka.

"Saya percaya rakan sepasukan tahu apa yang perlu dilakukan. Kami perlu bermain seperti sebuah pasukan juara dan tunjukkan karakter sebenar," katanya.

Selangor ketika ini memimpin carta liga dengan 16 mata, satu mata mengatasi Pahang Rangers yang mengalami kekalahan pertama musim ini selepas tewas 5-6 kepada Perak, Khamis lalu.

Sementara itu, ketua jurulatih, Taufik Yaiyah percaya barisan pemainnya akan tampil lebih bertenaga untuk menghadiahkan Selangor kekalahan pertama sekaligus merampas takhta liga.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Julai 2019 @ 12:35 AM