JORDAN kini mendapat sentuhan jurulatih dari Belgium, Vital Borklmanns. — FOTO JFA
Firdaus Hashim


JORDAN akan menguji kekuatan skuad Harimau Malaya sebelum turun mengharungi dua aksi Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 bertemu Indonesia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) September ini.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam berkata, aksi persahabatan menentang Jordan yang kini menghuni ranking ke-99 dunia akan dilangsungkan di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 30 Ogos ini.

Menurutnya, ia medan terbaik buat pengendali pasukan Tan Cheng Hoe menilai pemainnya sebelum turun membuka aksi Kumpulan G menentang Indonesia di Jakarta pada 5 September depan disusuli aksi bertemu UAE lima hari kemudian di Bukit Jalil.

“Kami ada satu perlawanan agak menarik menentang Jordan pada 30 Ogos ini di Bukit Jalil.

“Persediaan perlawanan dengan Jordan dari segi sekretariat kertas kerja sedang berlangsung tapi persetujuan bersama dengan Jordan sudah disahkan,” katanya ketika ditemui pada aksi persahabatan skuad B-19 tahun negara menentang Terengganu FC II di Wisma FAM, Petaling Jaya, hari ini.

Malaysia yang menghuni tangga ke-159 dunia diundi dalam Kumpulan G bersama tiga pasukan ASEAN iaitu Thailand, Vietnam dan Indonesia selain UAE.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Julai 2019 @ 8:12 PM