PEMAIN Tottenham meraikan kejayaan menewaskan Bayern Munich. - FOTO EPA
Agensi

TOTTENHAM menamatkan aksi pramusim dengan menewaskan Bayern Munich 6-5 menerusi penentuan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 2-2 dalam aksi final Piala Audi di Allianz Arena, awal pagi tadi.

Spurs mendahului 2-0 menerusi Erik Lamela yang memanfaatkan hantaran rendah Georges-Kevin Nkoudou dan rembatan Christian Eriksen dalam kotak penalti.

Tetapi Bayern bangkit selepas rehat menerusi dua pemain remaja, Jann-Fiete Arp dan Alphonso Davies yang menyamakan kedudukan menerusi rembatan menarik daripada jarak 25 meter.

Paulo Gazzaniga menyelamatkan sepakan David Alaba dan Jerome Boateng ketika penentuan penalti.

Spurs kehilangan pertahanan, Juan Foyth yang terpaksa diusung keluar selepas mengalami kecederaan serius buku lali.

Spurs terus menguasai perlawanan selepas mendahului 2-0 dan Son Heung-min dua kali hampir melebarkan kedudukan namun diselamatkan penjaga gol, Sven Ulreich yang turut menghampakan percubaan Harry Kane.

Tuan rumah, Bayern turut mengancam kubu Spurs menerusi rembatan Renato Sanches yang diselamatkan Gazzaniga sebelum jaringan Arp yang baharu dibeli daripada Hamburg dan pemain Kanada, Davies menyamakan kedudukan.


Benzema (tengah) meraikan jaringan bersama rakan sepasukan. FOTO AFP

Spurs menang penentuan penalti 6-5 dengan hanya Eriksen pemain tunggal Tottenham yang gagal menyempurnakannya.

Perlawanan itu yang kedua Tottenham berdepan gergasi Eropah dalam masa 24 jam selepas menewaskan Real Madrid 1-0 dalam aksi separuh akhir kejohanan persahabatan itu.

Dalam satu lagi perlawanan, Karim Benzema menjaringkan hatrik ketika Real Madrid menewaskan Fenerbahce 5-3 sekali gus melegakan jurulatih Zinedine Zidane.

Bagaimanapun, masalah kerapuhan benteng Real tampak belum diatasi selepas mereka dibolosi 16 gol dalam hanya lima aksi persahabatan.

"Kami akan mencari jalan menyelesaikan masalah ini, kami akan bekerja. Saya tetap di belakang pemain dan saya tahu kami akan terus maju dan mempunyai musim yang cerah,” kata Zidane yang pasukannya dimalukan 3-7 oleh musuh setempat, Atletico dalam aksi pramusim di Amerika Syarikat minggu lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Ogos 2019 @ 7:06 AM