Jasazrin (kiri) berharap skuadnya cemerlang apabila berdepan Selangor. FOTO NSTP


FELDA United FC mengharap tuah Stadium Shah Alam menyebelahi kelab itu apabila bertemu Selangor pada saingan Piala Malaysia, Sabtu ini.

Berdasarkan dua rekod pertemuan di Stadium Shah Alam musim ini, The Fighters menewaskan Red Giants pada pusingan ketiga Piala FA 2-1 dan seri 1-1 dalam saingan Liga Super.

Pemain tengah, Jasazrin Jamaludin berkata, dia dan rakan sepasukan mahu mengulangi pencapaian itu bagi memastikan kemenangan buat FELDA United.

"Sudah pasti kami mahu mengulanginya sekali lagi kerana perlawanan pembuka tirai Piala Malaysia adalah penilaian terbaik untuk mengetahui prestasi semasa pasukan.

"Kami sudah buktikan dalam dua pertemuan sebelum ini dan tiada yang mustahil untuk menyekat Selangor melakar kemenangan Sabtu ini, walaupun mereka beraksi di gelanggang sendiri.

Kita pun pernah tewas 1-2 ketika beraksi di Stadium Tun Razak, Jengka, jadi saya rasa kedua pasukan mempunyai peluang seimbang," katanya.

Ditanya peluang skuad itu mengisi dua slot ke suku akhir saingan Piala Malaysia, Jasazrin percaya peluang terbuka buat semua pasukan termasuk Melaka United dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Katanya, biarpun Selangor dan Melaka United diramal berada dalam kelompok lapan pasukan terbaik, FELDA United akan cuba mencuri peluang mara sejauh mungkin dalam siangan kali ini.

"Diundi dalam kumpulan D musim ini, kami sudah bersedia dan kekal fokus satu perlawanan ke satu perlawanan.

"Aksi pertama bertemu Selangor adalah masanya buat The Fighters membuktikan kemampuan dalam mengharungi saingan Piala Malaysia musim ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Ogos 2019 @ 2:27 PM