Jelius (kiri) mempersiapkan skuadnya untuk berdepan Perak. FOTO fail NSTP
Meor Riduwan Meor Ahmad


SABAH tidak memandang mudah cabaran juara bertahan, Perak menjelang perlawanan pertama saingan Piala Malaysia 2019 Ahad ini.

Ketua Jurulatih Sabah, Jelius Ating berkata, meskipun reputasi skuad The Bos Gaurus sedikit tercalar selepas gagal merampas Piala FA tahun ini, pasukan bimbingan Mehmet Durakovic masih pasukan elit dalam Liga Super.

"Kita lihat berdasarkan final Piala FA, Perak memiliki banyak peluang, tapi di akhirnya Kedah ambil kesempatan cipta kemenangan.

"Mungkin keputusan itu memberi sedikit kelebihan buat kita, namun kami tetap menghormati pasukan Perak.

"Mereka konsisten apabila tahun lalu mara ke final dan menjuarai Piala Malaysia, tahun ini pula final Piala FA," katanya dihubungi, hari ini.

Jelius berkata, anak didiknya berdepan laluan berliku bermain di Stadium Perak, Ipoh.

"Perlawanan pertama agak sukar lagipun bermain di tempat lawan. Kali terakhir bertemu Perak tahun lalu di separuh akhir Piala Malaysia, kami tewas.

"Namun, saya yakin menyediakan pasukan terbaik untuk memberi tentangan kepada Perak dan pasukan lain diundi bersama kami dalam Kumpulan C," katanya.

Beliau berkata, kejayaan skuad Tembadau menjuarai Liga Perdana memberi kelegaan kepadanya untuk menyediakan pasukan lebih mantap.

"Keseluruhannya pemain menunjukkan kematangan dalam permainan, khususnya pemain muda. Jadi saya harap kita boleh sekurang-kurangnya menghasilkan keputusan lebih baik daripada tahun lalu.

"Tahun lalu pasukan kita tidak dijangka mampu layak ke separuh akhir. Tahun ini kita fokus dan harap boleh lepas peringkat kumpulan terlebih dulu," katanya.

Mengenai perlawanan kedua bertemu Pulau Pinang, juga di tempat lawan, Jelius berkata, skuad bimbingan Manzoor Azwira Abdul Wahid itu juga semakin meningkat dan perlu diberi perhatian serius.

"Prestasi Pulau Pinang semakin meningkat apabila tidak kalah dalam sembilan perlawanan terakhir liga. Jadi kita perlu berhati-hati bagi memastikan tiga mata penuh," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Ogos 2019 @ 5:34 PM