SAFAWI (kanan) diasak pemain UiTM, Afif Asyraf Zabawi pada aksi Piala Malaysia di Larkin, malam ini. — FOTO Hairul Anuar Rahim
Rizar Mohd Noor


JUARA Liga Super enam kali berturut-turut Johor Darul Ta’zim (JDT) tidak berdepan masalah untuk memulakan kempen Piala Malaysia apabila menjinakkan UiTM FC 3-1 pada aksi Kumpulan B di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam ini.

Namun kemenangan itu disambut hambar oleh penyokong yang hadir hanya 5,860 dan bagaikan tidak menghargai usaha pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang sudah melakukan banyak pembaharuan dalam skuad Harimau Selatan sejak menjalani transformasi pada 2013.

Tuan rumah bagaimanapun tidak menunggu lama apabila mendahului selepas 15 minit berpunca daripada hantaran lintang Nazmi Faiz Mansor tepat kepada Diogo Luis Santo yang menanduk masuk mengatasi penjaga gol, Nor Haziq Aris.

Tindakan Shafiq Al-Hafiz Dawani menjatuhkan pemain gantian, Akhyar Rashid pada minit ke-64 menyaksikan pengadil Suhaizi Shukri tidak teragak-agak memberikan sepakan penalti.


DIOGO (tengah) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan. — FOTO Hairul Anuar Rahim

Safawi Rasid yang ditugaskan mengambil sepakan penalti itu merembat bola leret tepat ke penjuru kiri menewaskan Nor Haziq untuk membolehkan tuan rumah mendahului selesa 2-0.

Tiga minit sebelum tamat Diogo mencetak gol kedua peribadi apabila menanduk masuk umpanan pemain gantian Leandro Velazquez dan pelawat cuba bangkit menerusi jaringan kapten Zarko Korac namun sudah terlewat tatkala tuan rumah menang selesa 3-1.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Ogos 2019 @ 11:16 PM