RAJAGOBAL
Nazri Abu Bakar


BEKAS pemain Selangor era 1970-an dan 1980-an, Dato K Rajagobal mengakui prestij Piala Malaysia yang gah dimata umum pada era lampau tetap unggul sehingga kini.

Walaupun pada eranya pasukan Selangor dan Singapura sering mengisi slot final dengan terdapat juga Pahang dan beberapa pasukan lain, kemeriahan dapat dinikmati seluruh negara.

Beliau yang juga pengendali PKNS berkata, piala terbabit memiliki nilai sentimental tersendiri buatnya dan ramai bekas pemain yang lain terutama apabila membantu mencatat sejarah kejayaan setiap pasukan diwakili.

“Walaupun terdapat juga perbezaan penyertaan pasukan bertanding pada masa kini dengan hanya pasukan negeri bertanding pada era kami, ia tetap tidak menghilangkan prestij yang ada.

“Apapun kenangan sebagai pemain tetap menarik dan kini sebagai jurulatih misi tetap sama untuk membantu mencipta kejayaan buat pasukan yang dibimbing,” katanya di Melaka baru-baru ini.


ZAINAL Abidin

Piala Malaysia musim ini membabitkan sebahagian besar pasukan negeri seperti Selangor yang muncul juara 33 kali selain Pahang, Johor Darul Ta’zim (JDT), Pulau Pinang, Melaka United (MU), Kedah, Perak, Terengganu FC (TFC), Sabah dan Negeri Sembilan tetap menjadi fokus pengikut setia termasuk generasi baharu.

Sementara kehadiran pasukan kelab seperti PDRM, UiTM FC, FELDA United, PJ FC dan PKNP tetap memberi cabaran berbeza yang sering dinanti penuh debar dalam kalangan pegawai, jurulatih, pemain dan peminat bola sepak.

Walaupun Singapura tidak menyertai saingan piala berkenaan, kehadiran ramai bintang Kota Singa bersama pasukan di pentas Piala Malaysia turut memeriahkan dan menambah prestij tersendiri selain kehadiran import Asia, Afrika dan Amerika Selatan.

Sementara itu bekas bintang Selangor dan Pahang, Zainal Abidin Hassan turut mengakui prestij saingan kali ini tetap segar dalam kenangan bekas pemain selain dalam kalangan pemain dan penyokong.

Walaupun eranya berbeza dalam aspek kemeriahan, ia tetap hebat dalam kalangan penyokong terutama pada peringkat separuh akhir dan final, malah pada peringkat kumpulan bagi sesetengah pasukan.

Katanya, kejayaan menjuarai piala terbabit sebagai pemain juga sudah pasti ingin diulangi ketika melatih MU.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Ogos 2019 @ 6:30 AM