ANANTH (tengah) menjawab soalan wartawan di Putrajaya, hari ini. — FOTO Azhar Ramli
Ferzalfie Fauzi


PERSATUAN Sukan Elektronik Malaysia (ESM) menunggu lampu hijau daripada Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PPS) untuk meluluskan permintaan mereka menukar nama badan induk itu kepada Persekutuan Sukan Elektronik Malaysia (MESF).

Menurut presidennya, Datuk Ananth S Nathan, salah satu sebab mereka mahu menukar nama badan induk itu adalah supaya selaras dengan Persekutuan Sukan Elektronik Asia (AESF) dan Persekutuan Sukan Elektronik Antarabangsa (IESF).

“Ia masih belum rasmi kerana kami masih lagi perlu menghantar pindaan ini kepada PPS selepas ia dipersetujui oleh ahli gabungan pada mesyuarat hari ini,” katanya selepas mesyuarat agung luar biasa ESM di Putrajaya.

Difahamkan ESM akan membuat satu sidang media rasmi Jumaat depan untuk pertukaran nama dan logo badan induk itu.

“Antara perkara penting dibincangkan dalam mesyuarat hari ini adalah mengenai beberapa garis panduan dalam menyelaraskan e-Sukan di Malaysia kerana ada kekeliruan dalam kalangan persatuan negeri.

“Apa pun kami gembira kerana persatuan negeri sekarang sudah bertambah daripada 11 kepada 13 dengan kemasukan Perlis dan Pahang. Saya percaya walau apa pun berlaku mereka mempunyai semangat sayangkan badan induk ini,” katanya.

Dalam pada itu, Ananth juga gembira dengan persedian skuad e-Sukan negara ke Sukan SEA Filipina terutama dengan kehadiran pemain antarabangsa.

“Ketika hadiah wang kemenangan semakin tinggi untuk kejohanan antarabangsa, namun pemain kami masih mempunyai semangat patriotik untuk mewakili negara pada Sukan SEA. Demi pingat emas mereka menyertai kami untuk menjadi sebahagian daripada kontinjen negara,” katanya.

Sementara itu pengurus pasukan, Firdaus Hashim mengumumkan pelantikan ketua jurulatih, Ahmad Syazwan Anuar atau dikenali sebagai ADTR dalam dunia e-Sukan.

“Turut dilantik bagi persiapan ke Sukan SEA adalah jurulatih bagi permainan Arena of Valor (AOV), Goh Wee Thean, Yap Chee Loong (Dota2), Amirul Aiman (Mobile Legend Bang Bang) dan Ahmad Tarmizi Fozi (Tekken2),” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Ogos 2019 @ 8:06 PM