RAZMIN. FOTO Hafiz Sohaimi
RAZMIN. FOTO Hafiz Sohaimi
Ferzalfie Fauzi

PRESIDEN Alumni Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) Razmin Ramli berharap berita yang mengaitkan isu pelajar sekolah berkenaan dengan ceti haram (along) adalah tidak benar.

Menurutnya, isu yang mengatakan pelajar SSBJ terutama dalam sukan badminton meminjam wang along selepas terbabit aktiviti pertaruhan memang agak mengejutkan.

“Persatuan Badminton Malaysia (BAM) selaku badan yang bertanggungjawab mengeluarkan kenyataan akan memberi kerjasama kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF) dan menafikan atlet mereka terbabit,” katanya ketika dihubungi Arena Metro, semalam.

Ujarnya, beliau memohon agar semua pihak menunggu kenyataan rasmi BWF atau BAM sendiri berhubung isu berkenaan.

“Bagaimanapun, sekiranya siasatan pihak berwajib mendapati gejala tidak sihat ini benar-benar wujud terutamanya di SSBJ, Alumni menggesa agar tindakan tegas diambil kepada mereka yang terbabit.

“Dalam masa sama, pihak sekolah perlu segera mengambil langkah pencegahan dalam membentuk sahsiah dan jati diri unggul atlet serta memberi kesedaran dan pendidikan mengenai bahaya amalan judi dan rasuah,” katanya.

Beliau juga berharap agar aktiviti tidak sihat itu segera dipantau pihak berkuasa seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Arena Metro sebelum ini melaporkan bahawa terdapat pemain badminton negara berhutang dengan along hingga mencecah ratusan ribu ringgit.

Kelmarin, bekas pemain perseorangan lelaki, Rashid Sidek mendedahkan bahawa aktiviti pertaruhan maya perlawanan bola sepak sudah bermula sejak di bangku sekolah lagi membabitkan pemain badminton remaja negara.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Ogos 2019 @ 7:31 AM