Lochore meninggal dunia akibat kanser perut. FOTO REUTERS
Lochore meninggal dunia akibat kanser perut. FOTO REUTERS
Reuters

PEMAIN legenda All Blacks, Brian Lochore, 78 meninggal dunia akibat kanser perut.

Kematian Lochore, bekas kapten New Zealand ketika era emas mereka pada 1960-an dan mengendali All Blacks menjulang gelaran sulung Piala Dunia pada 1987 diumumkan oleh Ragbi New Zealand (NZR) dalam kenyataan, hari ini.

“Dengan rasa sedih, kami mengumumkan Sir Brian sudah tiada selepas bertarung dengan kanser,” menurut ketua ragbi NZR, Steve Tew.

“Kami kehilangan legenda negara kami yang menjadi tokoh penting di padang dan dihormati ramai di luar padang.

“Keluarganya kehilangan seorang suami, bapa dan datuk dikasihi kepada kebanyakan kami yang juga seorang kawan hebat.

“Sir Brian Lochore menjadi penyelamat kepada ragbi New Zealand pada beberapa kejohanan dan ramai antara kami kehilangan sahabat.”

Lochore tidak pernah beraksi dengan angka lapan sebelum ini dan dipilih untuk jelajah ragbi New Zealand 1963-64 di Eropah.

Dia mencipta posisinya sendiri dalam 68 perlawanan dengan jersi masyhur hitam dalam 25 perlawanan test.

Lochore dilantik sebagai kapten pasukan 1966 oleh jurulatih, Fred Allen berbanding lebih ramai pemain berpengalaman seperti Colin Meads dan Kel Tremain dan membantu pasukan mempertahankan rekod tanpa kalah ketika mereka ditabalkan juara dunia secara tidak rasmi.

Lochore bersara pada 1970 selepas jelajah Afrika Selatan tetapi dipanggil semula selepas ramai pemain mengalami kecederaan pada siri test 1971 menentang British dan Irish Lions.

Dia menyahut cabaran dengan menulis kepada isterinya dengan meninggalkan nota di peti sejuk mengatakan “pergi ke Wellington, beraksi pada test esok.”

Selepas meraih kejayaan pada peringkat kejurulatihan di peringkat wilayah, dia dilantik memilih pemain All Blacks pada 1983 dan menjadi jurulatih pada 1985-87 sebelum terbabit dalam perbalahan dengan jelajah Afrika Selatan pada 1986.

Dia meletak jawatan selepas All Blacks memenangi Piala Dunia di New Zealand dan Australia pada 1987 tetapi kembali berada dalam pemilihan skuad kebangsaan pada 2004 atas pemintaan jurulatih Graham Henry.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Ogos 2019 @ 9:06 PM