Azeem ungguli TSSG di Thailand. FOTO NSTP
Azlan Muhammad Zain


ATLET remaja sensasi negara, Muhammad Azeem Mohd Fahmi terus mencuri tumpuan apabila memenangi 100 meter Kejohanan Sekolah-Sekolah Sukan Thailand (TSSG) di Khon Kaen.

Atlet berusia 15 tahun itu berada di kelas tersendiri, hari ini apabila berjaya meninggalkan pencabar yang lain menuju garisan penamat.

Dia mencatatkan 10.70 saat untuk memenangi acara ‘reben biru’ berkenaan selain memecahkan rekod kejohanan dilakukan atlet Singapura, Lee Siong En yang melakukan 10.73s.

Perak diraih atlet Thailand dengan masa 11.02s manakala Ahmad Azizi Rozaini ketiga dengan 11.03s."Setakat ini saya berpuas hati dengan prestasi Azeem kerana ia juga adalah rekod baru kejohanan yang sudah memasuki edisi ke-22.

"Saya berharap dia akan melakukan catatan lebih baik pada kejohanan akan datang namun fokus ketika ini adalah bagi saingan 200m esok (hari ini)," menurut salah seorang jurulatihnya, Mohd Hazuan Zainal Abidin.

Azeem baru saja pulang daripada menyertai Sukan Sekolah-Sekolah ASEAN (ASG) 2019 di Semarang, Indonesia, meraih emas dalam acara 200m selain perak dalam 100m dan 4x100m.

Sejak awal tahun Azeem yang sudah dilabel ‘Usain Bolt’ Malaysia mencuri tumpuan dengan kejayaannya melakukan 10.63s di Kejohanan Olahraga Remaja Asia Tenggara di Filipina.

Dia muncul salah seorang pelumba terpantas dunia bagi bawah 15 tahun dengan catatan berkenaan bagi acara 100m selain 21.24s dalam acara 200m.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Ogos 2019 @ 10:45 PM