Pemain Perak, Raianderson Da Costa Morais (tengah) bersama rakan sepasukan meraikan jaringan kedua di Stadium Perak, Ipoh. FOTO NSTP/ABDULLAH YUSOF
Muhammad Apendy Issahak


PERAK menepati reputasinya selaku juara bertahan Piala Malaysia dan finalis Piala FA apabila menumpaskan Sabah 3-0 di Stadium Perak, Ipoh malam tadi.

Turun dengan skuad terkuatnya, anak buah Mehmed Durakovic bagaimanapun bergelut untuk mendapatkan gol pertama apabila pelawat yang juga juara Liga Perdana musim ini memberi tentangan hebat.

Gol pendahuluan The Bos Gaurus hanya diperoleh pada minit ke-45 hasil rembatan kencang dari jarak jauh Brendan Gan.

Momentum menyerang pasukan tuan rumah diteruskan pada babak kedua dengan mengasak kubu lawan sebelum pemain importnya Raianderson Da Costa atau lebih dikenali sebagai Careca berjaya menembusi gawang pada minit ke-51 melalui rembatan kencang dalam kotak penalti.

Anak buah jurulatih Jelius Tabias Ating dilihat lebih banyak bertahan dan sesekali membuat serangan balas pantas namun gagal menembusi barisan pertahanan Perak.

Tuan rumah berusaha menambah jaringan namun skuad Tambadau berjaya mempertahankan pintu gol mereka dari terus dibolosi sehinggalah pada minit kecederaan.

Leandro Dos Santos berjaya mengambil kesempatan daripada kekalutan di depan pintu gol Sabah susulan sepakan penjuru dengan menjaringkan gol ketiga tuan rumah.

Saingan Piala Malaysia bagi Kumpulan C itu berakhir tanpa tambahan jaringan dengan pasukan Perak ditangga teratas kumpulan manakala Pahang ditangga kedua selepas satu perlawanan.

Perak bertandang ke Stadium Darul Makmur, Kuantan bagi menentang Pahang Khamis ini manakala Sabah akan bertemu Pulau Pinang.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Ogos 2019 @ 11:23 PM