SUFFIAN

Malik Muhamad

[email protected]

KUALA TERENGGANU: Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) mengesahkan penjaga gol berpengalaman Terengganu FC (TFC), Suffian Abdul Rahman mengalami masalah jantung.

Bagaimanapun Timbalan Presiden PBSNT, Hishamuddin Abdul Karim memaklumkan penjaga gol berusia 41 tahun itu kini berada dalam keadaan stabil di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu.

“Suffian dirawat kerana mengalami masalah jantung, namun dia berada dalam keadaan stabil, kami harap seluruh peminat setia mendoakan penjaga gawang itu pulih seperti biasa dan kembali bersama pasukan dalam kempen Piala Malaysia yang sedang berlangsung,” kata Hishamuddin.

Khamis lalu, penjaga gol utama skuad Penyu pada awal saingan Liga Super musim ini dimasukkan ke wad di HSNZ, namun ketika itu belum disahkan penyakit yang dialami.

Ketiadaan pemain yang pernah menyarung jersi skuad kebangsaan itu sudah pasti memberi tamparan hebat kepada skuad kendalian pemangku ketua jurulatih, Nafuzi Zain kerana penjaga gol itu adalah antara pemain tonggak membantu TFC mara ke final Piala Malaysia musim lalu.

Berita yang meresahkan ini berlaku selepas dua tahun bekas penjaga gol, Mohd Sharbinee Allawee Ramli mengalami kanser darah ketika menyarung jersi skuad TFC itu.

Sementara itu, pengurus pasukan TFC, Ahmad Shahrizal Yahya menyatakan biarpun ketiadaan penjaga gol berkaliber itu dirasai, namun situasi itu tidak begitu meresahkan kem pasukan yang sedang mengharungi kempen Piala Malaysia.

“Sekarang kita ada tiga penjaga gol lagi, jadi dari segi perancangan dalam saingan Piala Malaysia kami tidak berdepan masalah,” kata Shahrizal yang menyatakan tiga penjaga gol skuad itu juga mampu menggalas tugasan diberikan.

Tiga lagi penjaga gol TFC adalah Muhammad Ilham Amirullah Razali, Wan Azraie Wan Teh dan Shafawi Mohamad.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Ogos 2019 @ 5:30 AM