LAMPARD kembali ke Stamford Bridge dengan penuh cabaran. — FOTO Reuters
Reuters

JIKA Frank Lampard masih menjadi pengurus Chelsea dalam tempoh setahun lagi, ia mungkin kerana beliau berjaya menyelesaikan masalah paling sukar kelab itu – menjaringkan gol tanpa Eden Hazard.

Musim lalu penyerang Belgium itu menamatkan kempen dengan 16 gol dan 15 bantuan gol, bermakna dia terbabit dalam hampir separuh gol kelab barat London itu dalam Liga Perdana Inggeris.

Kebolehannya membawa bola ke atas, memberikan ruang buat rakan sepasukan dan hantaran mengatasi pertahanan menjadi aspek penting serangan Chelsea sejak bertahun lalu dan pemergiannya ke Real Madrid meninggalkan jurang besar.

Ia bertambah sukar kerana tidak seperti 13 pengurus lain yang pernah berada di bawah era Roman Abramovich, Lampard tidak boleh mengurangkan jurang itu dengan membelanjakan wang pemiliknya.

Dua jendela perpindahan Chelsea yang digantung membayangi kepulangan Lampard ke kelab beliau pernah beraksi selama 13 tahun, menang tiga gelaran Liga Perdana dan Liga Juara-Juara.


PULISIC kini taruhan terbaik Lampard mengetuai serangan Chelsea. — FOTO Reuters

Selepas penyerang Juventus yang dipinjam, Gonzalo Higuain meninggalkan kelab itu, Lampard hanya bergantung kepada pemain berusia 32 tahun, Olivier Giroud, yang tidak pernah secara konsisten menjaringkan gol buat Chelsea dalam Liga Perdana.

Begitu juga kesnya dengan Tammy Abraham dan Michy Batshuayi.

Walaupun pemain berusia 20 tahun, Christian Pulisic sudah tiba dari Borussia Dortmund dengan perjanjian dimeterai sebelum pengharaman perpindahan, dia masih bakat mentah yang perlu diperhatikan selepas Willian dan Pedro.

Ujian sebenar Lampard diukur dengan tahap penurunan Chelsea, walaupun dengan kehadiran Hazard, sejak Januari ketika masih dibimbing Maurizio Sarri, mereka hanya mengutip 23 mata daripada 54 keseluruhan, menjaringkan 25 gol.

Walaupun Chelsea menamatkan musim dengan memenangi Liga Europa, tidak mengejutkan apabila Sarri meninggalkan kelab itu dengan gaya permainan diterapkannya ketinggalan satu tapak dan kurang meyakinkan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Ogos 2019 @ 1:39 PM