POCHETTINO tidak mempunyai kuasa dalam urusan pembelian pemain di Tottenham. — FOTO Reuters
Reuters

TOTTENHAM Hotspur menamatkan musim lalu di belakang juara, Manchester City dan Liverpool masing-masing dengan 27 dan 26 mata dan tidak ramai percaya kelab London itu boleh melakukan perkara serius mengurangkan defisit itu ketika kempen baharu bermula hujung minggu ini.

Menamatkan saingan di tangga keempat dan mara ke final sulung Liga Juara-Juara tanpa berbelanja berturut-turut dalam jendela perpindahan serta bermain ‘di laman sendiri’ di Wembley hingga April kerana kelewatan menyiapkan stadium menjadi pencapaian membanggakan buat Spurs.

Mereka akan memulakan saingan minggu ini di stadium baharu dengan kapasiti 62,000 tempat duduk dan membayar £65 juta (RM331 juta) untuk pemain tengah Perancis, Tanguy Ndombele dengan Mauricio Pochettino masih meneruskan projeknya.

Pochettino melakukan perkara menakjubkan untuk memastikan empat kelompok teratas dalam empat musim berturut-turut, meningkatkan saham dirinya namun pengendali dari Argentina itu masih belum meraih sebarang kejuaraan.


NDOMBELE satu-satunya pembelian besar Spurs setakat ini. — FOTO AFP

Menjelang hujung musim lalu, beliau meragui masa depannya sambil berkata adalah sesuatu yang ‘naif’ untuk menyatakan Tottenham boleh terus bertindak bagus di bawah kemampuan mereka dan ‘pelan baharu’ diperlukan untuk bersaing dengan City serta Liverpool.

Minggu lalu beliau mendedahkan tidak boleh campur tangan dalam polisi perpindahan kelab dan jawatannya patut ditukar daripada pengurus kepada jurulatih.

Pada saingan pemanas badan terakhir Ahad lalu berdepan Inter Milan, hanya Ndombele menjadi pemain utama ditandatangani Tottenham selepas pemain sayap Jack Clarke yang tiba dari Leeds United dengan harga £8.5 juta (RM43 juta) dipinjamkan kembali ke kelab Yorkshire itu.

Walaupun dengan kehadiran Ndombele dari Olympique Lyon ke Spurs, skuad itu masih kurang sepadan berbanding pencabar mereka apatah lagi berita pemain tengah England, Dele Alli akan terlepas saingan awal kempen kerana kecederaan hamstring.

Perkara positif adalah kesebelasan utama Tottenham berdepan Aston Villa awal pagi Ahad ini tampak sudah bersedia, selain Ndombele, mereka sudah mengenali cara permainan masing-masing.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Ogos 2019 @ 2:11 PM