Nazmizan (kanan) mahu KOM ambil tindakan berani hantar Azeem ke Sukan SEA. FOTO NSTP
Nazmizan (kanan) mahu KOM ambil tindakan berani hantar Azeem ke Sukan SEA. FOTO NSTP
Aida Adilah Mat


KESATUAN Olahraga Malaysia (KOM) perlu mengambil tindakan berani dengan menghantar Muhammad Azeem Mohd Fahmi ke temasya Sukan SEA Filipina hujung tahun ini.

Tiada sesiapa yang boleh mempertikaikan penyertaan pelari berusia 15 tahun itu selepas dia berjaya melepasi syarat kelayakan secara merit untuk kategori A dalam acara 200 meter.

Bekas raja pecut Asia Tenggara, Nazmizan Mohammad menyuarakan pandangan itu selepas Azeem mencipta kejutan melakukan catatan 21.13s ketika beraksi di Kejohanan Sekolah-Sekolah Sukan Thailand (TSSG) di Khon Kaen, kelmarin.

Ia sekali gus mengukuh cengkaman pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gunung Rapat, Ipoh itu sebagai pelari remaja terpantas dunia.

Nazmizan berkata, kematangan Azeem perlu digilap daripada sekarang untuk dia menangani tekanan bersaing pada tahap tertinggi dengan mereka yang jauh lebih berusia pada masa akan datang.

"Jika dia tidak beraksi dalam acara 200m sekali pun daftar nama Azeem untuk acara 4x100 atau 4x400m. Inilah masanya untuk membentuk psikologinya.

"Bagi Azeem merasai suasana bersaing dengan mereka yang lebih senior kerana itu adalah satu langkah yang baik untuk dia belajar menangani tekanan," katanya.

Nazmizan bagaimanapun menegaskan agar pihak luar untuk tidak meletakkan sasaran yang tinggi buat Azeem meraih pingat sekiranya pelajar itu memilih untuk beraksi di temasya dwi tahunan itu.

Untuk rekod catatan masa 21.15s itu meletakkan Azeem di kedudukan ketiga terpantas dalam acara 200m ketika ini di belakang pemegang rekod kebangsaan Russel Alexander Nasir Taib dan Jonathan Nyepa.

Russel mencatatkan masa 20.77s manakala Jonathan 20.92s. Hanya dua terbaik akan terpilih beraksi di Sukan SEA Filipina.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Ogos 2019 @ 3:28 PM