Pique (kiri) memperkatakan sesuatu kepada Coutinho. FOTO Agensi
AFP

GERARD Pique mahu pemain Brazil, Philippe Coutinho untuk kekal di Barcelona di sebalik minat yang tinggi daripada kelab Liga Perdana Inggeris.

Coutinho tiba di Barcelona dari Liverpool dengan rekod 160 juta Euro (RM751.78 juta) 18 bulan lalu namun gagal menjadi pilihan utama di bawah kendalian pengurus Ernesto Valverde yang mahu dia keluar daripada kelab itu sebelum bermula musim La Liga pada 16 Ogos ini.

Barca sedang mengintai peluang untuk menjual perancang tengah berusia 27 tahun itu, dengan sumber memaklumkan AFP perjanjian untuk kembali semula ke Liga Perdana menjadi ‘kemungkinan besar’.

Dia berlepas ke Miami sebagai persediaan menyertai satu perlawanan persahabatan menentang Napoli di Hard Rock Stadium.

Dan walaupun Arsenal menjarakkan minat mereka untuk perpindahan pemain itu pada Isnin, seteru Utara London, Tottenham kini dikaitkan dengan perpindahan itu. Pengurus Spurs, Mauricio Pochettino pernah melatih Coutinho di Espanyol dalam tempoh yang singkat dan dikatakan mempunyai hubungan baik dengan pemain berkenaan.

Bagaimanapun, Pochettino perlu mengosongkan ruang dalam pasukannya dengan memastikan pemain antarabangsa Denmark, Christian Eriksen berpindah ke Manchester United dengan yuran perpindahan dipercayai sekitar AS$60 juta (RM251.36 juta)

Selain itu, gaji tinggi Coutinho AS$350,000 (RM1.46 juta) seminggu turut mencetus masalah bagi mengeluarkannya dari Nou Camp.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Ogos 2019 @ 11:05 AM