PENGARAH Bahagian Atlet Majlis Sukan Negara (MSN), Jefri Ngadirin bersama peserta Projek Impian ASEAN (ADP) 2019 di Okayama, semalam.
Daripada Firdaus Hashim di Okayama

KETIKA kebanyakan remaja lebih memilih menyambut Aidiladha bersama keluarga, lain pula kepada lima pemain bawah 15 tahun (B-15) negara yang sanggup berkorban demi mengejar cita-cita mengetuk pintu kelab bola sepak di Jepun.

Menerusi Program Impian ASEAN (ADP) 2019 di sini, menyaksikan lima pemain bertuah berkenaan meraih pengalaman berlatih serta beraksi berdepan Akademi Kelab Bola Sepak Profesional Liga 1 Jepun (J1), Cerezo Osaka di Osaka, Jepun Sabtu ini.

Lima permata baharu negara itu ialah Raja Muhammad Haikal Raja Muhammad Zahari, Muhammad Danial Haiqal Shaipol, Muhamad Afiq Norizan, Muhammad Farizzudin Adham Batcha dan Anas Nadawi Shaharudin.

Afiq, 15, dari Sekolah Sukan Negeri Melaka berkata, dia memasang harapan besar dan optimis untuk membuka mata pencari bakat di Jepun akan kemampuan yang ada pada pemain muda Malaysia.

“Apabila sudah berada pada tahap ini, menjadi satu kerugian jika kami semua tidak pamerkan segala kemahiran dan bakat yang ada.

“Sudah tentu pencarian bakat muda kelab Jepun akan ada sepanjang kami beraksi di sini, jadi ini adalah masa terbaik untuk kami buktikan kepada mereka dan tidak mustahil kami mampu mengikat kontrak di sini suatu hari nanti,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Sementara itu, bagi pemain dari Akademi Mokhtar Dahari (AMD) di Gambang, Pahang, Danial Haiqal berkata, dia cukup teruja apabila terpilih bersama empat rakan lain selepas berjaya mengenepikan 120 peserta ketika sesi pemilihan berlangsung di Stadium USIM, Nilai, sebelum ini.

“Saya tidak berfikir dua kali apabila mendapat peluang keemasan seperti ini biarpun terpaksa mengorbankan sambutan Aidiladha bersama keluarga hujung minggu ini.

“Pada masa sama, kami juga tahu peluang seperti ini kebisaannya sukar untuk diperoleh kali kedua, jadi inilah masanya untuk kami lakukan segalanya,” kata Danial.

Sebagai rekod, ADP adalah program anjuran Cerezo Osaka, Yakult dan Stesen Televisyen Osaka ini sudah memasuki tahun kedua bertujuan mencungkil bakat muda ke kelab Cerezo Osaka bagi menjalani latihan dan beraksi bersama 10 pemain terbaik dari Thailand dan Myammar.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Ogos 2019 @ 5:41 PM