PEMAIN Negeri Sembilan, Danial Hadri (kiri) menghalang kemaraan Guerra di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi. - FOTO BERNAMA
Mohd Amin Jalil

PKNS FC bangkit pada perlawanan kedua dengan membenam Negeri Sembilan 2-1 dalam Kumpulan A saingan Piala Malaysia di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, sebentar tadi.

Dua gol daripada Gabriel Guerra membantu skuad berkenaan meraih tiga mata dari gelanggang lawan itu.

Skuad itu yang tewas kepada Terengganu FC (TFC) pada aksi pertama di gelanggang lawan, memanfaatkan dengan baik kelemahan Negeri Sembilan untuk mendapatkan tiga mata biarpun beraksi di tempat lawan.

Malah Negeri Sembilan yang diharap mampu mempamerkan kebangkitan tidak kesampaian apabila persembahan anak buah Zaki Sheikh Ahmad serba tidak menjadi dengan percubaan gagal menepati sasaran.

Sebaliknya pasukan Semut Merah bimbingan Datuk K Rajagopal dilihat lebih menguasai perlawanan dengan jentera serangan mereka diterajui Kpah Sherman dan Muhamad Jafri Firdaus bertindak lebih agresif dibantu jentera tengah gandingan Guerra, Mahali Jasuli, Akram Mahinan dan Romel Morales.

Peluang terbaik Negeri Sembilan mendapatkan gol pertama pada minit kesembilan, tetapi percubaan Almir Neto dari luar kotak penalti sekadar terkena tiang sebelah kiri.

Sebaliknya, tuan rumah tersentak dengan gol pertama PKNS dijaringkan Guerra pada minit ke-14, hasil tindakan bijaknya menyudahkan bola hantaran lintang Qayyum Marjoni Sabil dari sebelah kiri, menewaskan Kaharuddin Abd Rahman.

Guerra terus menjadi duri dalam daging buat Negeri Sembilan apabila dia mengukuhkan cengkaman PKNS menerusi gol keduanya pada minit ke-30, selepas berjaya memperdayakan pertahanan tuan rumah sebelum rembatan padunya menggegar jaring.

Negeri Sembilan cuba mempamerkan kebangkitan untuk merapatkan jurang pada lewat separuh masa pertama namun peluang yang mereka cipta menerusi gandingan Almir dan Ferris Danial Mat Nasir mudah dipatahkan pertahanan PKNS.

Bersambung babak kedua, Negeri Sembilan dilihat memperkemaskan jentera serangan dengan harapan dapat menjaringkan gol, tetapi tidak juga berhasil apabila beberapa percubaan dilakukan barisan depan tidak tepati sasaran.

Negeri Sembilan mendapat gol saguhati pada minit ke-90 menerusi Igor Luiz namun usaha itu sudah terlambat apabila saingan menyaksikan kemenangan milik PKNS FC.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Ogos 2019 @ 11:38 PM