AKSI pemain negara (kiri) cuba mengekang kelincahan pemain Vietnam di Stadium Thong Nhat, Ho Chi Minh. - FOTO AFF
BERNAMA

KESILAPAN mudah pada saat akhir perlawanan menyaksikan Malaysia memulakan kempen Kejohanan Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) B-18 2019 dengan kekalahan 0-1 kepada Vietnam pada aksi pembukaan Kumpulan B, malam ini.

Turun selaku penyandang juara, skuad kendalian jurulatih sementara Brad Maloney seakan gagal menyerap tekanan apabila aksi di Stadium Thong Nhat, Ho Chi Minh itu dikuasai pasukan tuan rumah sebaik wisel dibunyikan.

Namun, kekemasan pertahanan skuad negara yang mempamerkan disiplin tinggi ketika bertahan berjaya mengikat kedudukan tanpa jaringan untuk sekurang-kurangnya mencuri satu mata.

Bagaimanapun, apabila permainan seakan berakhir dengan keputusan seri, kesilapan tidak sepatutnya dilakukan pemain tengah, Muhamad Umar Hakeem Suhar Rezwan yang gagal mengeluarkan bola hasil sepakan penjuru Vo Minh Trong pada minit ke-88 memberikan gol kemenangan untuk Vietnam.

Skuad negara cuba bangkit dan penyerang, Luqman Hakim Shamsudin berpeluang meledak gol penyamaan, namun rembatan dari jarak dekat pada masa kecederaan babak kedua perlawanan tersasar dari pintu gol pasukan lawan.

Malaysia akan bertemu Singapura pada aksi kedua Jumaat ini diikuti berdepan Kemboja (Ahad) sebelum melengkapkan saingan kumpulan dengan menentang dua pasukan pilihan - Australia pada 13 Ogos dan Thailand (15 Ogos).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Ogos 2019 @ 11:59 PM