HIROSHI menikmati makan malam bersama Hadi Fayyadh dan lima pemain terpilih mengikuti Projek Impian ASEAN (ADP) 2019.
Daripada Firdaus Hashim di Okayama


KEJAYAAN Hadi Fayyadh Abdul Razak mengetuk pintu Liga Jepun (Liga J) beraksi bersama kelab Fagiano Okayama membuktikan tiada mustahil buat pemain Malaysia beraksi di negara Matahari Terbit itu.

Pengarah Urusan Yakult Malaysia, Hiroshi Hamada berkata, pihaknya sedia membantu lima pemain muda negara yang terpilih dalam Projek Impian ASEAN 2019 (ADP) 2019 mengikut jejak Hadi beraksi di Liga J itu.

Katanya, hubungan dan kerjasama erat antara pengeluar minuman probiotik terkemuka dunia itu dengan beberapa kelab di sini mampu dimanfaatkan sebaiknya untuk mencari kelab terbaik buat lima pemain berkenaan.

Lima permata baharu negara itu ialah Raja Muhammad Haikal Raja Muhammad Zahari, Muhammad Danial Haiqal Shaipol, Muhamad Afiq Norizan, Muhammad Farizzudin Adham Batcha dan Anas Nadawi Shaharudin.

"Kriteria sertai kelab Jepun sangat ketat, namun saya harap ada daripada lima pemain ini akan terpilih kekal bersama Cerezo dan mengikuti latihan mereka.

“Jika mereka terpilih nanti, tidak mustahil juga Cerezo akan memperkenalkan pemain itu kepada kelab lain. Saya tidak boleh beri jaminan sama ada lima pemain berkenaan berpotensi untuk diserap masuk atau tidak.

"Bagaimanapun, kami (Yakult) akan sentiasa bersedia dan memberikan sokongan kepada pemain muda Malaysia untuk mengasah bakat di sini," kata Hamada ketika majlis makan malam bersama Hadi Fayyadh di Okayama, di sini, semalam.

Menerusi Program ADP 2019 itu, menyaksikan lima pemain bertuah berkenaan meraih pengalaman berlatih serta beraksi berdepan Akademi Kelab Bola Sepak Profesional Liga 1 Jepun (J1), Cerezo Osaka di Osaka, Jepun, Sabtu ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Ogos 2019 @ 6:03 PM