Marco Reus (kanan) meraikan jaringan bersama rakan sepasukannya. FOTO AFP
AFP

KAPTEN Borussia Dortmund, Marco Reus berkata pasukannya mempunyai ‘agenda besar’ bagi musim ini selepas berjaya menyingkirkan kelab Divisyen Tiga, KFC Uerdingen, 2-0 pada aksi pusingan pertama Piala Jerman, di Duesseldorf, awal pagi ini.

Jaringan di babak kedua Reus meletakkan Dortmund dalam kedudukan selesa untuk menempa kejayaan, hanya tidak sampai seminggu selepas menewaskan Bayern Munich, 2-0 dalam aksi Piala Super Jerman.

“Dua kemenangan itu sangat penting buat kami untuk mencari rentak permainan,” kata Reus.

“Kami masih tidak lagi berada pada tahap sebenar ketika kemuncak prestasi musim lalu namun kami mempunyai perancangan besar tahun ini, dan kami mahu tunjukkan apabila saingan Bundesliga bermula.”

Reus (kanan) cuba dicabar pemain Uerdingen pada aksi Piala Jerman di Duesseldorf, Jerman. FOTO AFP

Dortmund yang akan melayan kunjungan Augsburg dalam perlawanan pembukaan Bundesliga mereka Sabtu depan, terpaksa diuji dengan kesabaran apabila sukar menembusi barisan pertahanan Uerdingen yang turut diperkuatkan dengan kehadiran bekas pemain kegemaran penyokong Dortmund, Kevin Grosskreutz.

Grosskreutz, pemain yang memenangi Piala Dunia 2014 dan dua kali juara Bundesliga bersama Dortmund, menghalang jaringan awal bekas pasukannya itu dengan menyepak bola yang hampir melepasi garisan gawang gol.

Dortmund mendahului hanya selepas bermula separuh masa kedua permainan selepas Reus melambung bola ke gawang gol selepas menerima hantaran jauh Manuel Akanji.

Berbaki 20 minit permainan, Alcacer menjaringkan gol menerusi sepakan percuma untuk kemenangan selesa Dortmund.

Borussia Moenchengladbach mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas kelab bawahan Divisyen Dua, Sandhausen terima kasih di atas jaringan pemulaan buat pemain yang baru ditandatangani Marcus Thuram.

Pasukan yang bersaing di liga kedua Nuremberg turut mara ke pusingan kedua dengan kemenangan 1-0 ke atas Ingolstadt.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Ogos 2019 @ 9:33 AM