Maloney akui lega tewaskan Singapura. FOTO NSTP
Ferzalfie Fauzi


SELEPAS tewas 0-1 dalam aksi pembukaan menentang tuan rumah, Vietnam Rabu lalu, pengendali skuad Bawah 18 Tahun (B-18), Brad Maloney mengakui sedikit lega dengan kemenangan sulung mengalahkan Singapura 3-1.

Menurutnya, kemenangan semalam sangat bermakna buat pasukan bimbingannya kerana setidak-tidaknya pemain sudah memperoleh sedikit keyakinan untuk mengharungi aksi seterusnya terutama menjelang pertemuan dengan Kemboja hari ini.

"Apa yang saya lihat, Kemboja adalah sebuah pasukan bagus dan memiliki pemain berkualtiti," kata Maloney.

Pasukan B-18 tidak boleh keciciran mata lagi selepas ini jika berazam untuk mempertahankan kejuaraan yang dimenangi tahun lalu di Indonesia.

Kata Maloney, bagi mencapai misi melepasi peringkat kumpulan anak buahnya perlu bekerja lebih keras kerana lawan mereka hari ini sudah membuktikan kemampuan termasuk menewaskan Thailand 4-3.

"Sudah pasti dengan semua itu (kemenangan Kemboja ke atas Thailand), perlawanan esok akan jadi lebih sengit.

"Segalanya bagus. Prestasi semalam (kelmarin) agak memberangsangkan dan meningkatkan keyakinan pasukan," katanya.

Dalam aksi menentang Singapura kelmarin, Firdaus Kaironnisam muncul wira apabila meledak dua gol.

Anak kepada bekas ketua pasukan negara, Kaironnisam Sahabudin Hussain itu menjaringkan gol pada minit keenam dan m-51, sebelum Luqman Hakim Shamsuddin menambah derita Singapura dengan jaringan ketiga pada m-88.

Selepas berdepan Kemboja tugas Maloney akan bertambah getir apabila perlu berdepan Australia dan Thailand dalam baki dua perlawanan terakhir.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Ogos 2019 @ 6:29 PM