Marquez bermula di petak utama GP Austria. FOTO REUTERS
Reuters

JUARA dunia, Marc Marquez meraikan rekod cemerlang kariernya apabila meraih petak utama ke-59 untuk perlumbaan Grand Prix Austria, hari ini.

Catatan itu sekaligus mengatasi rekod bekas juara dunia lima kali dari Australia, Mick Doohan sebagai paling banyak sepanjang masa.

Penunggang Honda dari Sepanyol itu merakam masa satu minit 23.027 di litar itu yang juga rekod masa sepusingan terpantas di litar Red Bull Spielberg.

Dia berada 0.434s lebih pantas dari pelumba Perancis, Fabio Quartararo selaku kedua terpantas untuk Petronas Yamaha.

Pelumba Itali, Andrea Dovizioso yang juga pencabar terdekat Marquez tetapi ketinggalan 63 mata di belakang selepas berakhir 10 daripada 19 perlumbaan, melengkapkan petak depan untuk Ducati.

Pelumba ujian Honda dari Jerman, Stefan Bradl menggantikan Jorge Lorenzo yang mengalami kecederaan dan rakan sepasukan Marquez bersama Repsol Honda, berada di petak ke-21 dan terakhir.

Pelumba handalan Itali, Valentino Rossi akan bermula di petak ke-10 untuk Yamaha.

Penganjur MotoGP dan Grand Prix Austria turut mengumumkan kontrak lanjutan baru selama lima tahun untuk perlumbaan itu untuk berada dalam kalendar sehingga 2025.

“Bagi saya, MotoGP adalah perlumbaan paling menarik di dunia,” kata ketua eksekutif Red Bull, Dietrich Mateschitz dalam kenyataan.

Mateschitz juga memiliki dua pasukan Formula Satu, Red Bull dan Toro Rosso.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Ogos 2019 @ 11:21 PM