GAYA Nadal selepas menewaskan pemain Itali, Fabio Fognini dalam aksi suku akhir Piala Rogers di Montreal, kelmarin. - FOTO EPA
AFP

RAFAEL Nadal memburu kejuaraan kedua berturut-turut gelaran ATP di Kanada selepas mara ke final Masters Montreal tanpa turun ke gelanggang, awal pagi tadi.

Pilihan utama kejohanan yang juga pemain nombor dua dunia itu berehat dua hari selepas Gael Monfils menarik diri daripada aksi separuh akhir hanya beberapa jam selepas pemain Perancis itu menewaskan pemain Sepanyol, Roberto Bautista Agut 6-4, 3-6, 7-6 (7/2) dalam aksi suku akhir yang ditunda akibat hujan.

Nadal mencari trofi kelima Kanada apabila menentang Daniil Medvedev pada aksi final awal pagi esok. Medvedev menewaskan rakan senegara dari Rusia, Karen Khachanov 6-1, 7-6 (8/6).

Perlawanan Monfils dan Bautista yang dijadualkan malam kelmarin terpaksa ditunda dua jam setengah akibat hujan.

Walaupun menang, Monfils mengalami kecederaan buku lali dalam perlawanan itu dengan masa yang singkat, pilihan ke-16 kejohanan itu terpaksa menarik diri memandangkan Terbuka AS turut berlangsung bulan ini.

Medvedev pula yang menang aksi kali pertama separuh akhir Masters 1000 yang mempertemukan dua pemain Rusia teruja menentang Nadal.

"Ia memang istimewa tetapi sudah tentu lebih tekanan. Tetapi ini yang saya mahu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Ogos 2019 @ 12:42 PM