Chang Hoon yakin PDRM mampu ke suku akhir Piala Malaysia. FOTO NSTP
Nazri Abu Bakar


PEMAIN tengah PDRM, Lee Chang Hoon yakin pasukannya mampu melepasi peringkat kumpulan D untuk mara ke suku akhir Piala Malaysia musim ini.

Walaupun kini berada di tangga ketiga di belakang Selangor dan Melaka United (MU), namun ia bukan halangan buat skuad itu mengisi satu slot biarpun digugat FELDA United di tangga keempat selepas berakhirnya dua perlawanan.

Menurutnya, kemenangan 4-3 ke atas The Fighters di Stadium Hang Jebat minggu lalu dilihat pemangkin kepada merealisasikan impian terbabit meskipun bakal mengharungi saingan lebih getir pada pertarungan selepas ini.

Katanya, fokus menghadapi setiap aksi amat penting dalam mengumpul mata maksimum sekali gus memperbaiki kedudukan di carta liga.

“Fokus kami terarah menghadapi The Red Giants di Shah Alam 18 Ogos depan. Apa yang pasti pasukan terbabit kian garang selepas mengekalkan rekod tanpa kalah mereka setakat ini.

“Walau apa sekalipun reputasi hebat lawan yang penting pasukan tidak terlepas sebarang mata dalam perlawanan terbabit berikutan ianya mampu meningkatkan motivasi pemain,” katanya.

Baginya, kerjasama positif rakan sepasukan dan persefahaman yang kian meningkat menjadi titik tolak perjalanan pasukan yang lebih memberangsangkan.

Pemain kelahiran Korea Selatan yang menyertai skuad Hang Tuah di pertengahan musim 2018 dilihat antara import berharga buat The Cops dengan jaringan menariknya terutama menerusi sepakan percuma.

Malah, pengalamannya menyertai Sangju Sangmu, Seongnam FC dan Gangwon FC di Liga Korea Selatan jelas digunakan sepenuhnya membantu PDRM layak ke Liga Super musim depan.

Ia pencapaian agak luar biasa skuad kendalian E Elavarasan yang membimbing The Cops pertengahan musim ketika kedudukan pasukan seakan pasti kekal di Liga Perdana.

Musim lalu PDRM menamatkan saingan di tempat kelima Liga Perdana namun sentuhan magisnya yang turut diperkuat Chang Hoon kali ini membolehkan skuad terbabit ke liga elit 2020.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Ogos 2019 @ 6:36 PM